Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur

ISTIADAT PENGURNIAAN DARJAH-DARJAH KEBESARAN NEGERI PAHANG DARUL MAKMUR SEMPENA MEMULIAKAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN PAHANG

Pekan, 24 Oktober 2017 - Seramai 100 individu menerima darjah kebesaran pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang yang telah diadakan di Balairung Seri, Istana Abu Bakar. Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.

Mendahului senarai nama penerima ialah YB. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Dato' Jailani Johari yang menerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Pertama  Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) dan membawa gelaran Dato' Sri. Antara 27 penerima pingat SSAP lain ialah Ketua Hakim Syarie Pahang YAA. Dato' Haji Abdul Rahman Md Yunos, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Dato' Ramlan Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohamad Mentek, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim dan penyanyi Dato' Siti Nurhaliza Tarudin.

Individu lain ialah Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Dato' Indera Zulkifli Abu Bakar, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, Dato' Dr. Sallehuddin Ishak, Ketua Polis Pahang Datuk Rosli Ab Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif/Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri Datuk Sabin Samitah.  

Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia - Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP), Pengarah Eksekutif THSB Services Sdn Bhd Datuk Mohd Azwan Abdul Malik menjadi penerima tunggal anugerah tersebut yang membawa gelaran Dato' Indera.

Seramai 13 individu menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Dato'. Antara penerimanya ialah Pengarah Besar FELDA Tuan Haji Ab Ghani Mohd Ali, Panglima Wilayah Udara 1 TUDM Mejar Jeneral Dato' Haji Mohd Faudzi Ahmad, Inspektor Jeneral Tentera Udara Markas Tentera Udara Dato' Johar Razali Ahmad, Asisten Ketua Staf Bahagian Operasi Bersama J3 Markas Angkatan Bersama TUDM Mejar Jeneral Dato' Mohd Asghar Khan Goriman Khan, Ketua Cawangan Khas Pahang DCP Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Sahabudin Abd Manan, Pengerusi Khas Cukai Pendapatan Malaysia Mohd Radzi Harun, dan Pengarah Eksekutif KLCC Sdn Bhd Ir Hashimah Hashim.

Seramai 59 penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk termasuk Ahli Jemaah Tertinggi BAKAT Udara Datin Dayang Halimah Awang Drahman, Ketua Pengarah Maktab Koperasi Malaysia Prof. Madya Dr Abdul Rahman Abdul Razak Shaik serta Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Pahang Ir Azman Ab Majid.

Penerima lain ialah Pegawai Daerah Jerantut, YM Mulia Tengku Nor Asmaliza binti Ku Lah, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Haji Ishak bin Md Napis dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Temerloh, Encik Azlan bin Mohd Yaman.